Untuk kesekian kakinya aku up lagi lauk kegemaran en. suami yang mesti ada dan aku masak lebih kurang 4 -5 kali seminggu. Susah sangat fikir apa nak masak, semestinya masak lemak cili api yang terpacul di mulutnya. Cuma tukar rencahnya dari ikan, ke ayam, ke udang atau daging. Kali ini pakai daging tetel iaitu daging lembu yang bersalut sedikit lemak dan urat-uratnya.
Resepi Masak Lemak Cili Api Daging Tetel Bersama Kentang, Lazat Dan Secukup Rasa Rencahnya |
Daging tetel ini agak liat dan kasar sikit. Sebab itu harganya pun murah saja. Biasa di jadikan rencah kari atau kurma dalam masakan. Daging tetel kena rebus lama untuk melembutkan segala lemak dan tetelnya. Tapi jika ada periuk tekanan apa jenama pun boleh, sementara menyiapkan bahan-bahan lain dalam 20 minit sudah cukup lembut.
Untuk mempercepatkan masak, aku rebus juga kentang sehingga hampir empuk. Nak lebih mudah masuk dalam periuk tekanan bersama daging selepas daging empuk dan tambah 2 minit lagi. Selesai sudah perihal daging dan kentang. Sementara menunggtu daging empuk tadi aku dah siapkan menumbuk bahan-bahan lain. Apapun di sini di sertakan resepinya.
Resepi Masak Lemak Cili Api Daging Tetel Bersama Kentang, Lazat Dan Secukup Rasa Rencahnya
Bahan-bahan:
400 gram daging tetel
2 cawan santan pekat
4 biji kentang
17 biji cili api
1 inci isi kunyit (besar ibu jari)
1/2 inci halia
2 biji bawang merah (kecil)
1 batang serai
1 keping asam keping
1 helai daun kunyit
Air secukupnya
Sebiji tomato (jika suka)
Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
Daging tetel di bersihkan dan di potong-potong kecil. Rebus bersama sedikit air sehingga daging tetel empuk. Kalau ada periuk tekanan, boleh juga di gunakan. Kentang di kupas kulitnya dan di potong empat atau enam bahagian. Rebus sehingga hampir empuk.
Cili api di tumbuk bersama isi kunyit hingga lumat. Setelah itu tumbuk lagi bersama bawang merah dan halia. Serai di titik hujungnya dan daun kunyit di carik-carik sahaja.
Selepas tu masukkan bahan tumbuk kedalam periuk bersama serai dan daun kunyit. Masukkan juga secawan santan pekat. Masukkan sekali asam keping. Didihkan periuk bersama bahan-bahan tumbuk.
Sentiasa kacau bahan di dalam periuk untuk mengelakkan santan berketul dan pecah minyak. Setelah mendidih masukkan daging tetel bersama air rebusannya sekali. Masukkan juga kentang rebus.
Masukkan secawan lagi santan serta perasakan dengan garam dan gula. Kalau nak lebih berkuah, boleh tambah lagi air. Masukkan garam dan gula sedikit demi sedikit sambil merasa bahan masakan untuk memastikan mendapat rasa yang bersesuaian.
Sebelum di angkat masukkan sebiji tomato yang di belah empat atau enam. Hidangkan untuk hidangan tengahari atau malam.
Bila masak lauk daging tetel lemak cili api ini, kena masak nasi lebih sebab teruja makan akibat kesedapannya. En. suami suka lauk ni, memang kegemaran dia. Anak-anak pun lebih kurang sama juga macam ayahnya. Walaupun pedasnya berdengung, tak ada yang merungut pedas. Sedap belaka... hehe!
Nak dapatkan pelbagai resepi masak lemak cili api di blog ni... klik SINI
p/s: Untuk yang nak kurang pedas, kurangkan jumlah cili api nyer... Kami sekeluarga memang kuat pedas. Tak podeh, tak sodapp, aihhh!!!
Sedapnya.. kesukaan nie..
ReplyDeleteSuka tetel berbanding daging merah
ReplyDelete