Asam pedas ini bukanlah masakan yang biasa aku buat waktu di kampung dulu. Sudah berkahwin dengan orang bahagian selatan ini, baru aku belajar masak asam pedas. Mak aku dulu kalau masak asam pedas tu maksudnya asam rebus itulah. Samaada buat menggunakan cili merah atau cili api dan sekali sekala menggunakan cili kering. Kiranya asam pedas ikan patin ini sangat berbeza dari di kampung aku dulu.
Aku belajar masak asam pedas ini melalui adik-adik ipar masa dia orang tinggal dengan aku sebelum mereka berkahwin dulu. Mula-mula buat sendiri memang failed, cair dan teruk rasanya. Lama-lama dah aku bereksperimen berulang kali, barulah aku dapat menangkap cara betul membuatnya dan sedap citarasanya.
Macam biasa, asam pedas ini boleh di buat dengan pelbagai jenis ikan, bukannya hanya ikan patin saja. Asam pedas ayam dan daging pun boleh. Asam pedas akan lebih sedap apabila di masukkan sekali dengan daun kesum ataupun bunga kantan. Tapi aku buat tak letak bahan itu. Apa yang ada sajalah.
Resepi Asam Pedas Ikan Patin Bersama Bendi Dan Terung.... Lazat!
Bahan-bahan:
Seekor ikan patin saiz sederhana kecil
2 biji terung
6 biji bendi
1 biji tomato
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
3 sudu besar cili giling
1 sudu makan pes asam jawa
Air secukup di perlukan
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya
Daun kesum atau bunga kantan (jika mahu)
Sedikit belacan(jika suka)
Cara-cara:
Ikan patin di cuci dengan air limau atau air asam jawa, di bersihkan serta di potong-potong. Terung di bersihkan dan di potong. Tomato di belah 4 atau 6. Bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hidup di tumbuk atau di kisar lumat. Halia di ketuk.
Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan tumbuk dan halia sehingga naik bau. Masukkan cili giling dan tumiskan hingga garing. Masukkan air secukupnya dan masukkan juga pes asam jawa.
Air di masukkan itu hanya setakat yang di perlukan. Sekiranya nak pekat, kurangkan air. Kalau nak berkuah lebihkan air. Seterusnya masukkan terung dan bendi dan renih sehingga lembut.
Akhir sekali masukkan ikan patin dan renih sekejap sehingga ikan masak. Sementara itu perasakan dengan garam dan gula serta di sesuaikan rasanya.
Sebelum api di tutup masukkan tomato yang telah di potong baji. biarkan seketika barulah di tutup api. Sekiranya nak masukkan belacan, masukkan semasa memasukkan pes asam jawa. Begitu juga dengan daun kesum atau bunga kantan.
Memang berselera makan asam pedas ikan patin ini. Sedap dan lembut saja ikan ini masuk ke tekak aku. Kena lebihkan asam jawa kalau guna ikan patin sebab ikan ini sejenis ikan air tawar yang hanyir. Barulah rasa lebih lazat.
Nak dapatkan pelbagai resepi di blog ini... klik SINI
p/s: Selain masak asam tempoyak, ikan patin memang sangat sesuai di masak asam pedas cara begini. Menjilat jari tauuu...!
wah sedap tu dah xyah masak sayur dah
ReplyDelete